Isnin, 14 Disember 2015

Buli Siber

Jumlah pengguna internet dan alat peranti komunikasi meningkat dengan mendadak dalam kalangan belia dan pelajar sekolah. Seiring dengan perkembangan teknologi, laman web sosial juga menjadi kegilaan dan fenomena dalam kalangan penggunanya. Walaupun memberikan faedah dan mempunyai kelebihan, pada masa yang sama, senario ini turut meningkatkan gejala buruk dalam alam siber, antaranya buli siber dan gangguan siber.



Buli siber dapat diterjemahkan sebagai gangguan atau buli yang melibatkan golongan bawah umur menerusi aplikasi alat berteknologi seperti telefon, komputer, dan lain-lain. Buli siber berlaku apabila seseorang individu – biasanya dalam kalangan remaja atau kanak-kanak – dibuli, diganggu, diugut, atau dimalukan dalam internet.



Buli siber menjadi isu yang semakin membimbangkan masyarakat di negara maju seperti Amerika Syarikat. Kes membunuh diri dalam kalangan pelajar yang meningkat di negara maju disebabkan oleh buli siber mengakibatkan beberapa negara mulai menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat gejala ini daripada menular.

Antara kes yang menggemparkan masyarakat hingga mendorong usaha penguatkuasaan undang-undang termasuklah kematian mangsa buli siber, Ryan Halligan, yang membunuh diri selepas dibuli dan dimalukan di internet pada tahun 2003. Sementara itu, Megan Meier pula mengambil keputusan untuk membunuh diri pada tahun 2006 kerana dibuli dalam laman sosial MySpace.

Kedua-dua mangsa buli siber mengambil keputusan untuk menamatkan hidup pada usia seawal 13 tahun. Pendek kata, buli siber dilakukan dengan niat untuk memberikan tekanan kepada mangsa.

Jenis-jenis buli siber:

-Mesej yang mengganggu dan mengancam.

-Menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain.

-Memanjangkan e-mel, foto atau video kepada orang lain.

-Memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh.

-Sexting(tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit).

-Memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja.



Sebuah kajian yang dijalankan ke atas 9,651 orang pelajar daripada 459 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mendapati sebanyak 13 peratus (1,255 orang pelajar) dari responden mengaku bahawa mereka sedang menjadi mangsa buli siber, manakala 26 peratus (2,509 orang pelajar) pula mengaku pernah menjadi mangsa buli siber.

Kajian yang dijalankan oleh CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd pada tahun 2013 ini membuktikan bahawa gejala buli siber semakin menular dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di negara ini.
Dapatan kajian tersebut juga menggambarkan bahawa pelajar-pelajar kini semakin terdedah kepada pelbagai ancaman, ugutan atau gangguan daripada pembuli siber menerusi telefon bimbit, e-mel, pesanan ringkas (SMS) dan laman sosial.

Berbeza berbanding kes buli tradisional, buli siber yang berlaku di alam siber tanpa sempadan fizikal adalah begitu mudah berlaku. Siapa-siapa sahaja boleh terdedah menjadi pembuli siber atau mangsa buli siber. Ia juga boleh berlaku pada bila-bila masa. Bahkan identiti pembuli siber juga sukar untuk dikenal pasti.

Justeru itu, pendekatan preventif yang proaktif, pendidikan dan kempen kesedaran yang holistik harus diadakan secara konsisten bagi mencegah budaya buli di sekolah dan meningkatkan kesejahteraan siber yang melibatkan kumpulan sasar seperti kanak-kanak, remaja, ibu bapa, guru sekolah dan orang awam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan